Sunday 22 May 2011

KENAIKAN HARGA BARANG

Nasib pengguna lebih terbela

Sebagai pengguna kita berasa lega apabila kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan dan Pencatutan 2010 mulai 1 April lalu. Akta ini membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertindak dengan segera terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, syarikat korporat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta.
Bagi individu pula, mereka akan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.
Kita percaya hukuman yang digariskan ini pasti akan mengundang rasa ketakutan dalam kalangan peniaga baik individu, mahupun syarikat korporat yang berhasrat untuk menaikkan harga barangan ataupun yang selama ini memang degil dan terus menganiaya pengguna.
Hal ini penting kerana mutakhir ini kita terus dikejutkan dengan kenaikan harga pelbagai jenis barangan dengan sewenang-wenangnya oleh peniaga tanpa mempedulikan hak dan kemampuan kuasa beli pengguna.
Misalnya, kenaikan harga gula menyebabkan peniaga terus menaikkan harga makanan dan minuman walaupun kajian kementerian mendapati untuk secawan teh dan kopi kenaikan harga gula (20 sen sekilo) hanyalah 0.4 peratus sahaja. Apa yang berlaku ialah peniaga menaikan terus harga makanan dan minuman pada kadar 20 sen secawan.
Justeru, dalam hal ini, apa yang penting ialah kepentingan aspek penguatkuasaan pemantauan oleh pihak kementerian. Kita berasa lega apabila Ismail Sabri juga mengumumkan bahawa seramai 1,600 pegawai pemantau harga telah digerakkan untuk memantau keadaan kenaikan harga setiap hari terutamanya selepas kenaikan harga gula.
Mungkin timbul persoalan adakah jumlah 1,600 orang ini mencukupi untuk memantau di seluruh pelosok negara? Sejauh mana pemantauan ini betul-betul dilaksanakan?
Justeru, kita berharap kementerian akan memastikan elemen pemantauan ini dilaksanakan mengikut perancangan, sama ada dengan 1,600 orang ini ataupun menambah lagi tenaga pekerja supaya ia benar-benar memberi impak yang diharapkan.
Pada masa sama, sebagai pengguna kita juga wajar memainkan peranan kita terutamanya dalam melindungi hak kita sendiri. Orang ramai perlu memberi kerjasama dengan melaporkan kepada kementerian sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga sesuka hati mereka.

Pembangkang hanya pandai eksploitasi isu kenaikan harga minyak

KEMAMAN 21 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menempelak pihak pembangkang yang hanya pandai mengeksploitasi isu kenaikan harga minyak sedangkan mereka tiada tanggungjawab untuk sama-sama menyelesaikannya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang ternyata tidak berusaha untuk menangani perkara itu kerana mereka tidak menanggung bebannya.
Sedangkan kerajaan, jelas beliau, terpaksa memikul beban dan sentiasa bertanggungjawab bagi menangani isu kenaikan harga minyak RON 95 itu demi kepentingan rakyat.
"Mungkin pihak pembangkang mudah mengeskploitasi isu ini kerana mereka tidak mempunyai tanggungjawab dalam menyelesaikannya.
"Isu ini membebankan kerajaan tetapi mereka (pembangkang) tidak tahu bagaimana nak selesaikannya," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO diminta mengulas usaha pihak pembangkang yang mengeksploitasi isu kenaikan harga minyak RON 95 walapun ia masih belum diputuskan kerajaan.
Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil kira semua aspek sebelum membuat keputusan mengenai isu berkenaan demi kepentingan rakyat.
"Soal kenaikan kos minyak kita dah tahu dan saya pun telah buat beberapa kenyataan serta mempengerusikan mesyuarat minggu lalu untuk berbincang secara mendalam bagaimana nak tangani masalah ini," jelasnya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, soal kenaikan harga minyak bukan hanya dialami Malaysia malah di kebanyakan negara lain di peringkat global.
"Negara jiran, baik Singapura, Thailand dan Indonesia, isu sama saja cuma degree yang berbeza tetapi di Malaysia memang ada isu tetapi kadar inflasi kita antara yang terendah," katanya.
Justeru Muhyiddin mahu semua pihak sedar betapa kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi yang tinggi apabila berlaku kenaikan harga minyak dunia.
Beliau mengakui kerajaan menanggung peningkatan beban subsidi daripada RM10 bilion kepada RM18 bilion sekiranya subsidi itu tidak diuruskan dengan baik.

ARKIB : 22/05/2011

Pembangkang digesa hentikan isu kenaikan harga RON95

BERA 21 Mei - Pihak Pembangkang digesa menghentikan segala tohmahan kepada kerajaan berhubung isu kenaikan petrol RON95 sebelum pengumuman rasmi mengenainya dilakukan dua minggu lagi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakyah pembangkang bahawa harga tersebut akan dinaikkan dalam masa terdekat.
"Rakyat perlu bersabar dengan menunggu keputusan kerajaan dan jangan terpengaruh dakyah yang dilemparkan pembangkang kononnya bahan bakar itu akan dinaikkan.
"Saya sentiasa maklumkan bahawa Rasionalisasi Subsidi akan kita umumkan, jadi jangan menuduh kerajaan itu dan ini kerana kerajaan belum berbuat demikian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan pembangkang yang sengaja memainkan isu tersebut adalah untuk mengaut kepentingan politik tanpa mengambil kira faktor tertentu.
"Semalam saya dimaklumkan terdapat penyebaran di laman sosial facebook yang menyatakan kerajaan menaikkan harga RON95 sebanyak 30 sen selepas pukul 12 tengah malam.
"Penyebaran maklumat palsu itu menimbulkan kekecohan di kalangan rakyat maka saya mohon ia dihentikan," jelasnya.
Beliau menjelaskan, sebanyak RM20.58 bilion diperuntukkan sebagai subsidi untuk petrol dan bahan makanan yang membuktikan kerajaan mengambil serius tentang kebajikan rakyat.

Kerajaan ambil kira beban rakyat

PUTRAJAYA 20 Mei - Kerajaan akan mengambil kira semua faktor termasuk kadar inflasi dan beban rakyat semasa melakukan kajian rasionalisasi subsidi pertengahan tahun yang dijangka membawa kepada penyelarasan harga minyak pada akhir bulan ini atau awal bulan depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan dijangka menanggung subsidi hasil petroleum sebanyak RM18 bilion pada tahun ini berbanding RM8 bilion tahun lalu sekiranya harga minyak mentah kekal tinggi sekitar AS$100 (RM303) setong.
''RM10 bilion tambahan untuk tujuan subsidi ini merupakan perbelanjaan di luar bajet dan keadaan ini memaksa kerajaan mencari sumber kewangan untuk menampung subsidi ini.
''Keadaan ini bagaimanapun tidak bermakna kerajaan akan mengorbankan projek lain seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk memberi subsidi kepada rakyat, projek seperti PLKN juga amat penting dan perlu dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program pemadanan perniagaan antara 35 koperasi dengan pasar raya besar, pasar raya, stesen minyak dan persatuan hotel di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kenaikan harga merupakan satu fenomena global dengan tiada satu pun negara terkecuali.
''Walaupun China mengamalkan ideologi komunis dan mengawal harga semua barang tetapi hakikatnya minyak RON93 mereka dijual dengan harga RM3.80 seliter, Indonesia pula menjual RON92 dengan harga RM3.20.
''Harga RON95 di Malaysia pula hanya RM1.90. Kita memberi subsidi RM1 untuk setiap liter minyak yang dibeli pengguna,'' katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berharap pihak hotel dan syarikat minyak akan mengecualikan koperasi daripada membayar caj penyenaraian tetap untuk produk yang dipamerkan di premis perniagaan berkenaan.
''Semua pihak termasuk pasar raya besar tempatan dan asing dipohon agar memberi ruang dan peluang yang sewajarnya kepada koperasi memasarkan produk mereka," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, koperasi Malaysia akan bekerjasama dengan koperasi di Indonesia melalui satu memorandum yang akan ditandatangani pada Jun ini.
''Kita turut merancang hubungan kerjasama dengan Singapura, kita mahu koperasi Malaysia memperluaskan pasaran ke luar negara," katanya.

Rakyat diminta bersama kerajaan kurangkan subsidi

20/05/2011 5:09pm

BACHOK 20 Mei - Rakyat haruslah bersama kerajaan dalam usaha mengurangkan jumlah subsidi yang semakin meningkat dari RM10.3 bilion tahun lepas kepada RM20.58 bilion tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Katanya, kerajaan akan mengkaji secara terperinci agar sebarang keputusan bagi mengurangkan subsidi tidak membebankan rakyat golongan miskin.
"Kajian itu akan dibuat secara menyeluruh yang membabitkan bahan bakar, tepung, gula dan bahan makanan asas,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Telong di sini, hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan rakyat terutama di luar bandar terhadap kemungkinan kenaikan harga barangan berikutan langkah mengkaji semula pemberian subsidi termasuk bagi petroleum RON95. - Bernama

ARKIB : 20/05/2011

Dutch Lady naikkan harga 5 - 6 peratus Jun ini

PETALING JAYA 19 Mei - Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady Malaysia) akan menaikkan harga produk keluarannya antara lima dan enam peratus secara berperingkat-peringkat mulai bulan depan berikutan kenaikan harga bahan mentah.
Pengarah Urusannya Bas van den Berg berkata, harga bahan mentah dijangka meningkat sebanyak 29 peratus tahun ini berbanding 27 peratus pada 2010.
"Kami akan terus berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah, yang mewajarkan kami untuk menaikkan harga tahun ini," katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.
Beliau berkata, Dutch Lady Malaysia sudah menaikkan produk susu untuk membesar sebanyak lima peratus menerusi pelancaran barisan produk susu untuk membesar dengan 5X DHA pada Januari lepas.
Ditanya tentang unjuran 2011, van den Berg berkata, pasaran produk tenusu sangat baik, berikutan penggunaan susu yang lebih tinggi.
Beliau berkata, syarikat akan terus membangunkan pasaran pelbagai kategori susu dan yakin memperoleh keputusan yang kukuh tahun ini.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2011, Dutch Lady Malaysia mencatat peningkatan 15 peratus dalam perolehan kepada RM196.6 juta berbanding RM170.5 juta pada tempoh yang sama pada 2010.
Keuntungan sebelum cukainya meningkat 22 peratus kepada RM34.6 juta berbanding RM28.3 juta sebelumnya. - Bernama

ARKIB : 20/05/2011

Akta persaingan bela pengguna

KANGAR 19 Mei - Kegiatan berpakat untuk menaikkan harga barang atau mengurangkan bekalan, monopoli dan perlakuan perdagangan tidak adil akan ditangani dengan lebih berkesan apabila Akta Persaingan 2010 dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2012, kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dibentuk melalui akta itu akan bertanggungjawab menangani perkara-perkara itu demi kepentingan rakyat.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini, Muhyiddin berkata, suruhanjaya itu berkuasa untuk memanggil kelompok peniaga yang didapati melakukan perbuatan yang merugikan orang ramai.
Katanya kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang yang sepatutnya boleh dikawal dan kerajaan juga berbelanja besar untuk subsidi harga barang yang membabitkan kos lebih RM20 bilion.
Muhyiddin berkata, kerajaan terpaksa melaksanakan rasioanalisasi termasuk mengurangkan subsidi diesel bot laut dalam mulai 1 Jun ini.
Katanya, mulai Jun pengusaha bot nelayan perlu membeli harga diesel RM1.80 seliter berbanding RM1.25 pada masa ini.
"Syarikat besar yang ada banyak bot laut dalam sudah pasti mendapat hasil besar dan tak wajar mendapat subsidi sama seperti nelayan lain," katanya sambil menjelaskan bahawa hasil penjimatan itu boleh disalurkan kepada sektor-sektor lain.
Mengenai masalah banjir di Perlis, Muhyiddin berkata, beliau telah mendengar taklimat daripada Menteri Besar Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berhubung perkara itu.
Katanya, kerajaan berhasrat untuk menyelesaikan masalah itu secara beransur-ansur kerana ia membabitkan kos besar namun sebagai permulaan sebanyak RM18 juta diperuntukkan bagi kerja membaiki saliran di Empangan Timah Tasoh dekat sini bagi mengawal banjir.
Sebelum itu, semasa berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan 2020 itu, beliau berharap rakyat sentiasa mengutamakan semangat perpaduan dan tidak mempertikaikan perlembagaan negara sehingga menjadi isu perdebatan dan merungkai perpaduan rakyat.
Turut hadir di majlis itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - BERNAMA

Kerajaan tetap pastikan rakyat tak terbeban - TPM

19/05/2011 1:23pm

KANGAR 19 Mei - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menolak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan tidak membantu rakyat dalam menangani masalah kenaikan harga barangan.
Beliau berkata, kerajaan akan tetap menangani fenomena global terutama kenaikan harga minyak bagi memastikan rakyat tidak tertekan dengan kenaikan kos hidup.
"Pembangkang tuduh kerajaan tak bantu rakyat dengan membiarkan harga barang melambung tinggi. Kerajaan sebenarnya sentiasa berusaha untuk mengawal keadaan itu,” katanya ketika berucap pada majlis jalinan mesra sempena lawatannya ke Pulau Ketam dekat sini hari ini.
Muhyiddin berkata, kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi sebanyak RM20 bilion setahun bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang di samping penyaluran pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan juga akan memastikan rakyat tidak tertekan dengan persaingan meningkatkan harga oleh pihak tertentu apabila Akta Persaingan 2010 berkuatkuasa tahun depan. - Bernama

ARKIB : 19/05/2011

Inflasi boleh lepasi 3.5 peratus


Zeti Akhtar Aziz pada sidang akhbar KDNK bagi mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2011 di Kuala Lumpur, semalam - Utusan/Amin Farij Hasan


KUALA LUMPUR 18 Mei - Kadar inflasi negara boleh menjadi lebih buruk sekiranya harga minyak dunia terus meningkat tinggi.
Sebelum ini, kadar inflasi diunjur sebanyak 2.5 peratus hingga 3.5 peratus.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mengakui bahawa kadar itu boleh melepasi unjuran tertinggi 3.5 peratus pada bulan-bulan tertentu.
Beliau menambah, bank pusat akan menyemak semula kadar itu sekiranya berlaku peningkatan lebih tinggi berbanding unjuran awal.
Katanya, kadar inflasi negara terus meningkat pada bulan April kepada 3.2 peratus daripada 3.0 peratus pada bulan sebelumnya, 2.9 peratus (Februari) dan 2.4 peratus (Januari).
Zeti berkata, ''BNM masih mengekalkan unjuran purata kadar inflasi pada tahun ini antara 2.5 peratus hingga 3.5 peratus
''Unjuran ini telah pun mengambil kira kemungkinan berlaku beberapa penyelarasan (semakan) yang akan dibuat.
''Seandainya penyelarasan melebihi daripada harga yang ditentukan, mungkin semakan (kadar inflasi) perlu dilakukan,'' katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi suku pertama 2011 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan inflasi negara sekiranya kerajaan menyelaraskan harga minyak petrol.
Zeti menambah, kenaikan harga minyak mentah dunia memang akan memberi risiko dan cabaran kepada dunia.
Katanya, meskipun kenaikan harga komoditi itu akan menambah pendapatan eksport negara, tetapi ia membebankan pengguna dan perniagaan secara keseluruhan.
''Kenaikan harga minyak dunia adalah fenomena dunia dan akan memberi kesan kepada setiap negara.
''Sekarang ini, harga minyak berlegar di sekitar AS$110 (RM330), jika aliran harga ini terus meningkat, ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi,'' jelas beliau.
Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan indeks harga pengguna pada bulan April naik 3.2 peratus disebabkan oleh kenaikan harga makanan dan pengangkutan.
Ditanya mengenai Kadar DasarSemalaman (OPR) semasa, Zeti berkata, kadar itu adalah sesuai untuk mengatasi cabaran ekonomi sekarang.
Malah, tambah beliau, kedudukan polisi monetari kekal menyokong ekonomi negara.

ARKIB : 18/05/2011

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

HAKIKAT yang perlu kita semua terima ialah tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum sejak dahulu lagi adalah terlalu tinggi dan faktor luaran menjadi penentu kepada harga pasaran bahan tersebut.
Trend pasaran petroleum dunia pula tidak menampakkan ia akan menurun; menjadikan trend pada peningkatan harga bahan-bahan berasaskan petroleum.
Mengekang sebarang kenaikan harga jualan bahan-bahan itu seperti petrol dan gas bermakna kerajaan menyerap apa juga kenaikan harga bahan terlibat. Maknanya, jumlah subsidi kerajaan terus meningkat dan besar.
Tahun lepas sahaja, kerajaan menanggung RM8 bilion untuk subsidi produk petroleum dan jika harga minyak terus menunjukkan peningkatan, anggaran subsidi kerajaan boleh mencecah RM18 bilion tahun ini.
Dalam melihat rasionalisasi subsidi, kerajaan dari semasa ke semasa mencari jalan supaya beban keterlaluan kepada kerajaan dapat dibendung tetapi pada masa yang sama memastikan harga produk-produk berkenaan tidak membebankan rakyat selaku pengguna.
Mengadakan dua harga petrol - RON97 dan RON95 berserta syarat pembelian yang turut melibatkan kenderaan asing, adalah antara contoh penyesuaian yang mendatangkan faedah kepada kerajaan dan rakyat.
Mengekang peningkatan peruntukan subsidi bermakna lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada projek pembangunan untuk semua rakyat termasuk di luar bandar.
Awang - Faham.

ARKIB : 18/05/2011

'Jangan naik harga sekarang'

SEREMBAN 17 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara diminta mengemukakan usul membantah kenaikan harga petrol RON95 dan tarif elektrik pada persidangan perwakilan bahagian masing-masing.
Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu tidak bersetuju kenaikan tersebut dibuat sekarang kerana ia akan membebankan rakyat yang sedang merasai kesan kenaikan harga barang makanan secara purata sebanyak enam peratus, lebih tinggi berbanding kadar inflasi sebanyak tiga peratus.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rem-bau berkata, kenaikan RON95 akan memberi kesan terhadap barangan lain juga kerana ia melibatkan rantaian nilai.
"Pergerakan Pemuda UMNO berpendapat rakyat sudah pun terbeban dengan kenaikan harga makanan dan sebarang kenaikan pada harga petrol akan menyebabkan mereka terus terhimpit.
"Oleh kerana itu, saya meminta semua Pemuda UMNO bahagian mengemukakan usul membantah kenaikan harga RON95 dan tarif elektrik pada masa ini," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Zakaria Nordin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Shahrul Ekhsan Othman.
Khairy berkata, beliau akan menyampaikan usul tersebut kepada kerajaan dan terpulang kepada kerajaan untuk memberi pertimbangan terhadap bantahan itu.
"Kalau nak struktur semula subsidi saya setuju tetapi saya tidak setuju ia dibuat sekarang kerana kita tengok harga makanan seperti daging, ayam dan sayur telah pun meningkat dan rakyat rasa terhimpit," katanya.