Monday, 23 May 2011

Penjelasan mengenai kenaikan harga minyak

from : http://www.perakini.net/index.php?option=com_content&view=article&id=408:penjelasan-mengenai-kenaikan-harga-minyak&catid=62:ilmiah&Itemid=101

Berikut adalah jawapan terhadap persoalan kita mengenai kenaikan harga minyak di Malaysia yang dijelaskan oleh Unit Perancang Ekonomi JPN (UPE) dalam dokumen ini (2006) dan ini (2008) dan penjelasan Prof Madya Dr Hamid Yeop Yeop Zainuddin yang disiarkan dalam Sinar Harian ruangan wawancara pada 5 Januari 2011 yang lalu. Kedua-dua penjelasan ini dibuat secara berasingan, tetapi saya telah menyusun dalam bentuk perbandingan supaya kita semua dapat fahami rasional kenaikan harga minyak di Malaysia. Bagi menambahkan fakta, saya juga merujuk kepada wawancara bersama Tan Sri Hasan Marican dalam tahun 2008 yang pernah ditayangkan oleh RTM (transkrip).
Mengapa berlaku kenaikan harga minyak?
UPE: Ini disebabkan berlaku kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Kenaikan harga minyak adalah disebabkan permintaan tinggi minyak mentah dunia berbanding bekalan menyebabkan pasaran tertekan, keadaan geo-politik yang tidak stabil di beberapa negara OPEC yang menjejaskan pengeluaran serta aktiviti spekulasi pembelian minyak mentah masa hadapan (futures trading). Sejak pertengahan tahun 2004, harga minyak mentah telah meningkat tinggi di pasaran dunia. Harga minyak mentah jenis WTI, telah meningkat daripada purata AS$41.60 setong pada tahun 2004 kepada AS$72.28 setong pada tahun 2007. Pada bulan Disember 2007 harga purata adalah sebanyak AS$91.36 setong dan terus meningkat kepada AS$92.98 setong pada bulan Januari 2008. Harga minyak mentah jenis Tapis (minyak mentah keluaran Malaysia) turut meningkat daripada purata AS$41.48 setong pada tahun 2004 kepada AS$78.30 pada tahun 2007. Pada bulan Januari 2008 harga purata terus meningkat kepada AS$96.74 setong.
HYYZ: Di pasaran dunia, harga bahan api turun dan naik tetapi di Malaysia boleh dikatakan tidak pernah turun, asyik naik sahaja. Sesiapa pun faham. Ini membuktikan harga minyak di Malaysia tidak ditentukan oleh pasaran dunia. Ketika harga minyak kita RM2.70 seliter, ada negara yang lain hanya 16 liter sahaja.

Negara kita menghasilkan minyak. Jadi kenapa minyak di Malaysia perlu naik juga?
UPE:  Malaysia mengeluarkan minyak jenis Tapis, namun minyak tersebut tidak digunakan dalam negeri kerana berkualiti tinggi serta harga lebih mahal dan lebih menguntungkan jika dieksport. Oleh itu, Malaysia mengimport minyak jenis lain yang harganya lebih rendah untuk kegunaan tempatan. Dengan ini Malaysia mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak yang lebih mahal dan mengimport minyak yang lebih murah.
Harga minyak ditentukan pasaran dunia, Malaysia tidak mempunyai kawalan. Petronas hanya menguasai 30% sahaja pasaran dalam sector penjualan runcit produk petroleum tempatan, manakala bakinya dikuasai oleh syarikat seperti Shell, Esso, Caltex, BP dan Mobil. Jika petronas dikehendaki menyerap kenaikan harga minyak atau menanggung secara langsung subsidi minyak, ini bermakna ia memberi subsidi kepada syarikat minyak asing. Petronas hanya mempunyai 3 loji penapis dengan minyak dengan keupayaan 256,000 tong sehari atau 47% daripada jumlah keluaran negara. Bagi sebanyak 53% disumbang oleh loji penapisan minyak yang dimiliki oleh Shell (155,000 tong sehari), Exxon-Mobil (88,000 tong sehari) dan Conoco Philips (48,000 tong sehari). Oleh kerana Malaysia menggunakan 520,000 tong sehari, kita juga bergantung kepada loji penapisan milik syarikat minyak antarabangsa.
HYYZ: Untuk mudahkan orang awam faham ambil contoh kelapa sawit. Kita adalah negara pengeluar. Kalau dulu harga sawit RM1,000 satu tan, sekarang dah naik RM3,000. Kita untung atau rugi? Sudah tentu untung 3 kali ganda. Begitu juga minyak mentah Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan menganggotai OPEC. Jika Malaysia jual kira-kira 700,000 tong minyak mentah sehari (merujuk data tahun 2008) pada kadar AS$130 (ambil RM3.8/1Dolar AS), ini bermakna perolehan setahun adalah AS$33 bilion iaitu melebihi RM126 bilion. Dengan anggaran perolehan melebihi 1 trilion ringgit untuk 10 tahun pada kadar disebutkan tadi, bolehkah harga minyak diturunkan? Jika benar rakyat didahulukan masa sudah tentulah jual murah di dalam negara tetapi jual ikut harga pasaran di luar negara. Ini adalah hasil negara yang sepatutnya dinikmati bersama.
Kita rujuk data 2008 dengan anggaran jualan minyak mentah Malaysia sebanyak 700,000 tong sehari. Oleh kerana minyak dijual dengan dolar amerika, bagi memudahkan perbandingan anggapkan tukaran RM3.50/dolar AS). Harga minyak pada Januari 2007 adalah AS$50 iaitu RM175 setong. Justeru, perolehan setahun bagi 2007 adalah melebihi RM44 bilion. Jun 2008, harga minyak telah naik kepada  kepada AS$138 iaitu RM483 setong. Justeru perolehan setahun hingga Jun 2009 adalah kira-kira RM123 bilion. Ini memberikan tambahan lebihan untung sebanyak RM78 bilion. Keuntungan tambahan ini tidak termasuk keuntungan lain seperti petrol dan diesel. Oleh itu keuntungan sebenar hasil kenaikan harga minyak dunia adalah jauh lebih tinggi.

Kenapa kerajaan perlu kurangkan subsidi?
Bagaimana penjimatan subsidi akan dibelanjakan?

UPE: Ini adalah kerana jumlah tanggungan subsidi Kerajaan semakin besar iaitu RM16.2 bilion pada tahun 2007. Sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat, tanggungan subsidi Kerajaan juga turut meningkat. Apabila jumlah subsidi dan pengecualian cukai jualan semakin meningkat, wang yang ada untuk tujuan pembangunan serta subsidi sektor lain terpaksa dikurangkan.  Pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan yang tidak berhemat akan meningkatkan perbelanjaan mengurus Kerajaan dan seterusnya memburukkan keadaan defisit akaun Kerajaan. Ini akan menyebabkan Kerajaan terpaksa terus berhutang bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat tersebut. Sekiranya keadaan ini berterusan, beban hutang akan terus ditanggung oleh generasi akan datang.
Kerajaan dijangka menjimatkan RM4.4 bilion pada tahun 2006 dengan kenaikan 30 sen harga minyak.  Pemberian subsidi akan mengurangkan keupayaan kerajaan untuk mengurangkan defisit negara. Subsidi telah meningkatkan penyeludupan minyak ke luar negara. Subsidi lebih menguntungkan golongan kaya yang memiliki banyak kereta berbanding orang miskin yang mempunyai motosikal.
Jumlah subsidi yang berjumlah RM4.4 bilion (2006) akan dipulangkan kembali kepada rakyat dengan menambah baik sistem pengangkutan awam dengan menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA). Dana ini akan digunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas daripada aspek liputan dan kekerapan, menambah baik sistem integrasi pengangkutan awam antara bas, LRT, monorel dan komuter serta memperluaskan jaringan sistem monorel atau LRT. Ini untuk memberikan keselesaan kepada pengguna dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
HYYP: Kalau tiada subsidi pun harga minyak boleh diturunkan, apatah lagi jika ada subsidi. Ke mana perginya untung RM78 bilion ini? Lagilah tidak logic kita terpaksa pula mengurangkan subsidi. Kita bukan singapura kerana ia kerana pembeli bukan pengeluar. Ketika minyak mentah berharga AS$130 setong (RM3.50/1 dolar AS) kerajaan mengumumkan harga sebenar  petrol di Malaysia ialah RM3.00 per liter dan diberikan subsidi 30 sen menjadikannya RM2.70 seliter. Jika benar ada subsidi, adakah subsidi diberikan kepada semua syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Mobil, Esso, Caltex, BHP dan lain-lain. Tanpa subsidi atau suatu bentuk persetujuan bayaran tertentu kepada syarikat asing tersebut, mustahil  mereka mahu menjual  dengan harga seperti dijual petronas iaitu RM2.70 seliter. Tanpa subsidi, sudah tentu mereka menjual mengikut harga yang memberikan keuntungan  sebagaimana yang dijual di negara lain. Sebab itu harga Shell di Singapura lebih tinggi. Tinjauan saya mendapati pengusaha stesen minyak membayar tunai dengan harga RM2.70 daripada pembekal syarikat asing dengan komisen hanya RM0.0095. Ini bermakna pengusaha stesen minyak bukan penerima subsidi. Justeru kemungkinan besar subsidi tersebut dibayar terus kepada syarikat asing (80% daripada RM33 bilion).
Berdasarkan RM33 bilion tadi, kita boleh mengetahui penggunaan petrol negara ini dalam setahun adalah kira-kira 110 bilion liter, lebih kurang 301 juta liter dalam sehari.
Mengikut laporan dalam tahun 2007, terdapat 3098 stesen minyak di seluruh negara dengan 40% daripadanya beroperasi 24 jam. Ini member gambaran purata jualan harian bagi sebuah stesen minyak adalah sebanyak 97 ribu liter sehari, atau hamper 3 juta liter sebulan. Suatu angka yang sukat diterima kerana untuk sebuah stesen minyak kerana secara purata jualan harian mereka tidak melebihi 20,000 liter. Jika benar ada subsidi, maka angka-angkanya mesti benar dan selari dengan pengiraan matematik tadi. Tetapi kerana angka-angkanya tidak terkena, maka keputusan ini menidakkan dan menolak dakwaan kewujudan subsidi petrol berjumlah 30 sen seliter atau RM 33 bilion sehari.
Patutkah kerajaan menggunakan keuntungan Petronas untuk membiayai subsidi?
UPE: Sejak ditubuhkan pada tahun 1974, PETRONAS telah membuat sumbangan besar terhadap   pembangunan negara. Dalam tahun kewangan 2004/2005, ia telah menyumbang RM31 bilion dalam bentuk cukai, dividen dan royalti. Ini merupakan peningkatan 47 peratus berbanding dengan sumbangan tahun sebelumnya. Jumlah ini merupakan 53 peratus daripada keuntungan kasar PETRONAS sebanyak RM59 bilion pada tahun kewangan 2004/2005. Sebenarnya, sumbangan PETRONAS kepada hasil negara adalah mencukupi untuk membiayai sepenuhnya subsidi keluaran petroleum. Namun begitu, perbelanjaan subsidi adalah perbelanjaan hangus. Walaupun Kerajaan boleh membiayai sepenuhnya subsidi yang kian meningkat tetapi ini bukanlah langkah yang terbaik kerana akan menjejaskan pelaksanaan program lain yang lebih produktif. Oleh itu, jika rakyat dan Kerajaan dapat berkongsi kos kenaikan harga keluaran petroleum dan mengurangkan jumlah subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan, sebahagian daripada sumbangan PETRONAS boleh dilaburkan ke dalam aktiviti yang menjana pendapatan baru demi kesejahteraan negara dan rakyat.Petronas juga telah member sumbangan dalam sector pendidikan (UTP) dan petrosains, pembinaan KLCC, agensi pemaju Koridor Ekonomi Wilayah Timur, menganjurkan F1. PETRONAS juga memberi subsidi gas kepada sektor tenaga dan sektor bukan tenaga berjumlah RM58.2 bilion bagi tempoh Mei 1997 hingga Mac 2007. Harga gas yang ditetapkan kepada sektor tenaga pada masa ini hanyalah RM6.40 setiap million British Thermal Unit (mmbtu) sahaja sedangkan harga gas berasaskan harga komersial ialah sebanyak RM40.53 setiap mmbtu. Pada tahun 2006, PETRONAS telah membelanjakan sebanyak RM15.6 bilion untuk membekalkan gas bersubsidi kepada sektor tenaga dan bukan tenaga.
HYYZ: Salah satu cara terbaik untuk menurunkan harga minyak adalah dengan menyerapkan terus keuntungan Petronas ke dalam hasil minyak yang dijual di dalam negara. Penyerapan keuntungan ini akan membolehkan petronas menjual petrol dengan harga lebih rendah secara langsung akan meningkatkan lagi keuntungan Petronas dengan peningkatan jualan minyak. Tindakan inilah yang sebenarnya menangkis persoalan kemanakah perginya keuntungan Petronas. Lagipun bukan semua pengusaha syarikat minyak asing seperti BHP, Esso, Caltex, Shell dan Mobil membeli minyak mentah daripada Petronas. Itupun Petronas tetap mengaut keuntungan berbilion ringgit. Sedangkan dengan harga AS$50 setong kerajaan menanggung subsidi berbilion ringgit, inikan pula AS$138 setong (RM483). Bila untunga dua kali ganda sepatutnya turun separuh harga.
Ada pihak kata Malaysia akan kehabisan minyak pada tahun 2011. Ada kata kita hendak menjadi nett importer, jadi apakah kebenarannya dan apakah reserve negara sekarang?
HM: Definisi nett exporter, nett importer ini, sekarang ini kita nett exporter sebab pengeluaran kita melebihi permintaan termasuk yang diimport tadi. Definisi nett importer pula bila di suatu masa hadapan kita telah kata tahun 2011 atau 2014 bergantung kepada growth permintaan, kita akan menjadi nett importer bermakna pengeluaran di dalam negara tidak dapat menampung permintaan dalam negara. Ia tidak bermakna yang kita akan berhenti atau tidak dapat mengeluarkan lagi minyak, seperti kita kata tadi kita akan cuba memanjangkan hayat reserve yang kita ada dalam jangka dalam jangka 20 hingga 22 tahun di hadapan. Reserve dan pengeluaran di luar negeri tidak diambil kira. Ini kita katakan negara Malaysia telah menjadi nett importer, PETRONAS sekarang telah melabur dan meneroka di negara-negara lain, jumlah reserve kita telah meningkat, dan 30% daripada reserve PETRONAS terletak di luar negara seperti di Sudan, di Indonesia dan sebagainya.
HYYZ: Tuhan jadikan Malaysia unik. Laluan gempa bumi pun tidak merempuh Malaysia. Telaga minyak kita macam telaga air di kampung, dicedok banyak mana pun tak akan habis. Minyak kita kalau ambil satu tong, dia akan keluar lagi sehingga tiga tong. Saya banyak mendapat maklum balas daripada ramai bekas pelajar saya yang menjadi jurutera di Petronas dan di kawasan cari gali. Untuk satu jangka yang amat lama lagi dakwaan ini tidak benar, kalau habispun, saya percaya ketika itu minyak bukan lagi merupakan sumber utama negara.

No comments:

Post a Comment

Gadget

This content isn't available over encrypted connections yet.