Thursday, 16 June 2011

FANATIK DRAMA NORA ELENA.....JOM TENGOK SINI!

 

 


Nowa,
Kakitangan Kajaan,
Putrajaya

TV3
Sri Pentas,
No 3, Persiaran Bandar Utama
Bandar Utama, 47800 Petaling Jaya

Tuan,

Per : Bantahan Terhadap Penyiaran Drama Bersiri Nora Elena

Adalah dengan hormatnya saya merujuk kepada perkara di atas dan drama bersiri Nora Elena adalah berkaitan.

2. Dimaklumkan, bahawa saya, Nowa dengan ini membantah penyiaran drama bersiri Nora Elena yang disiarkan setiap hari, jam 7 petang di saluran tuan. Antara sebab sebab pembantahan saya adalah seperti berikut.

i) Membuatkan jiwa isteri isteri terganggu. Mana ada suami gitu sabo dalam dunia ini? Logik tak bila Nora tanya Seth, asal Seth tak penah marah dengan apa saja perbuatan Nora? Seth jawab, sebab Seth terlalu sayangkan Nora. Jadi kesimpulan, isteri-isteri mula curiga dengan suami mereka yang sepanjang masa marah marah. Ni laki aku sayang ke tak ni?

ii) Jiwa jiwa suami juga turut terganggu. Ini kerana, apa bila tiba scene scene romantik dan tidak dapat diterima akal, seperti Nora terpeleot, Seth siap dukung bawak g sofa, tingkat bawah..(gila gagah..aritu aku nak branak, laki aku gendeng henbek aku, beg kain aku, pastu tunggu aku kat grill depan umah, aku la terkedek-kedek jalan sendiri..pastu pegang lengan aku je tau..bila suh dukung macam biasa drama atau filem buat, laki ckp, "ah gile mung, patoh pinggang!" Pastu sampai sepital, lari lari amik wilca..kalu dukung macam drama melayu kan bagus??)
Oh pasal part romantik tu, biasanya isteri akan menjeling kepada suami, disertai dengan kata kata sinis, "dedi mung ni masa dulu geletak nok ke mami, masa mami begetoh je belanar beli bunga, minyok wangi, cekelat bagai..leni doh dapat mami doh haghammmmmm!!! asal besday ke anniversary ke, pakai tektik, hadiah ai pada yu adalah sebuah cinta yang murni dan ikhlas"....itu je?? harharharharam!!
Paling koman, selepas jelingan tajam, cubitan kental di lemak perut pasti akan singgah di bahagian perut suami.
Jadi, sebagai lelaki melayu, suami, mereka juga merasa hangat dengan penyiaran drama bersiri ini.
Kebiasaan jugak, malam malam yang sepatutnya diisi dengan aktiviti sukan berair akan berlalu begitu saja, pabila sang isteri makan hati, lelaki melayu dalam drama lagi romantik dari laki sendiri. Saje saje wat merajuk, ingatkan si laki pujuk cam si Seth pujuk Nora, tapi tak tau laki sendiri penat, dah, amik kau, sampai ke pagi tak dapat apa apa..laki tak pujuk satu hal, laki horny dibuat bini gitu pun satu hal..Sian Johnny!

iii) Memberi harapan pelesu kepada gadis gadis yang belum menikah.
Apabila pengaruh Seth Tan mula menular, maka ramai gadis gadis mencari pasangan hidup yang romantik nak mampus macam Seth Tan. Selepas menonton siri itu juga, kajian secara rambang mendapati kebanyakan dahi gadis gadis lebam. Ini adalah berikutan dengan tabiat sebelum tido mereka yang gemar meletakkan belakang tapak tangan ke dahi sebelum tido sambil berangankan lelaki seromantik Seth Tan, walau sebenarnya, Non Ada lelaki MELAYU seromantik itu. Yang romantik cumalah, lelaki Bangladesh, lelaki Lombok, dan Shahrukh Khan sahaja.

iv) Pasangan-pasangan bercinta kerap bergaduh.
Sang aweks memaksa jejaka untuk kerap membelikan bunga. Sedangkan boipren tu keja Kerani je kat Kementerian Kewangan. Gaji pun RM1500 jek. Kau gile sekuntum bunga brape hengget?? Kalu nak 3 kuntum sebulan, takpe jugak. Ni nak 21 roses everiday?? Kau gile, ko nak mamoh kelopak bunga ke? Kau ingat kau cantik macam Nora Elena nak demand-demand? cess

v) Tak logik punya citer..Brape lama kawen baru bole 'bersama'?? Ada ke lelaki sesabar Seth tu.. Ok, takde ke tunjuk scene Seth 'tumbuk sambal'?? eh, kalu betol ada lelaki tak penah sentuh isteri, kira mesti dia 'tumbuk sambal' kan? hahahha...takut awak sakit belakang konon..padahal ajak tido skali..mood cameron suda mari..eh, tetiba teringat Jay....kahkahkahakha

vi ) kari hangus, nasik hangit
Duk sibuk berkejar dari dapur ke hall, pastu ke dapur semula, pastu part ehem ehem, part ada pelangi, dah teralit, tengok sambil berangan, jeling laki, dah lupa kari kat dapur..hangit gitu je..

vii) Mengganggu tumbesaran anak kecil.
Pabila seorang isteri, terpengaruh dengan apa yang dilihat di kaca telebisi, nak perli secara derek kepada laki sendiri takut kena penampo, jadi, anak kecil dijadikan medium untuk menyampaikan isi hati

"tengok tu Alya, dulu dedi mung semart gitu ah, nok g dating siap bukak pintu bagai sume? leni? mami terkedek kedek bawok barang dia hon siap siap doh"
"owoh Alya ork? napok ngat nipu..mana ada orang kawen doh romantik gitu ork??"
Kesian la budak kecit tu terkebil kebil tak tau ape mak dia bebelkan

3. Sekian dimajukan untuk pertimbangan dan kelulusan pihak tuan. Dan semoga dengan ini, tiada lagi kekeliruan dan kecelaruan minda penonton penonton lagi. Mana ada lelaki romantik gitu dalam dunia..kalu ada pun sebelum kawen, lepas kawen, bagi setahun, atau dah dapat anak sorang, jadi kayu la semuanya..Jadi, dimohon pihak tuan agar tidak mempermainkan perasaan kami, dan memberi harapan pelesu kepada gadis gadis diluar sana

Sekian,

"BERPIJAK DIDUNIA NYATA ADALAH TUNGGAK KEHIDUPAN BAHAGIA"



( NOWA)
Pengerusi,
Kelab Ibu-Ibu Menyusu Badan
Putrajaya

Monday, 23 May 2011

Penjelasan mengenai kenaikan harga minyak

from : http://www.perakini.net/index.php?option=com_content&view=article&id=408:penjelasan-mengenai-kenaikan-harga-minyak&catid=62:ilmiah&Itemid=101

Berikut adalah jawapan terhadap persoalan kita mengenai kenaikan harga minyak di Malaysia yang dijelaskan oleh Unit Perancang Ekonomi JPN (UPE) dalam dokumen ini (2006) dan ini (2008) dan penjelasan Prof Madya Dr Hamid Yeop Yeop Zainuddin yang disiarkan dalam Sinar Harian ruangan wawancara pada 5 Januari 2011 yang lalu. Kedua-dua penjelasan ini dibuat secara berasingan, tetapi saya telah menyusun dalam bentuk perbandingan supaya kita semua dapat fahami rasional kenaikan harga minyak di Malaysia. Bagi menambahkan fakta, saya juga merujuk kepada wawancara bersama Tan Sri Hasan Marican dalam tahun 2008 yang pernah ditayangkan oleh RTM (transkrip).
Mengapa berlaku kenaikan harga minyak?
UPE: Ini disebabkan berlaku kenaikan harga minyak di pasaran dunia. Kenaikan harga minyak adalah disebabkan permintaan tinggi minyak mentah dunia berbanding bekalan menyebabkan pasaran tertekan, keadaan geo-politik yang tidak stabil di beberapa negara OPEC yang menjejaskan pengeluaran serta aktiviti spekulasi pembelian minyak mentah masa hadapan (futures trading). Sejak pertengahan tahun 2004, harga minyak mentah telah meningkat tinggi di pasaran dunia. Harga minyak mentah jenis WTI, telah meningkat daripada purata AS$41.60 setong pada tahun 2004 kepada AS$72.28 setong pada tahun 2007. Pada bulan Disember 2007 harga purata adalah sebanyak AS$91.36 setong dan terus meningkat kepada AS$92.98 setong pada bulan Januari 2008. Harga minyak mentah jenis Tapis (minyak mentah keluaran Malaysia) turut meningkat daripada purata AS$41.48 setong pada tahun 2004 kepada AS$78.30 pada tahun 2007. Pada bulan Januari 2008 harga purata terus meningkat kepada AS$96.74 setong.
HYYZ: Di pasaran dunia, harga bahan api turun dan naik tetapi di Malaysia boleh dikatakan tidak pernah turun, asyik naik sahaja. Sesiapa pun faham. Ini membuktikan harga minyak di Malaysia tidak ditentukan oleh pasaran dunia. Ketika harga minyak kita RM2.70 seliter, ada negara yang lain hanya 16 liter sahaja.

Negara kita menghasilkan minyak. Jadi kenapa minyak di Malaysia perlu naik juga?
UPE:  Malaysia mengeluarkan minyak jenis Tapis, namun minyak tersebut tidak digunakan dalam negeri kerana berkualiti tinggi serta harga lebih mahal dan lebih menguntungkan jika dieksport. Oleh itu, Malaysia mengimport minyak jenis lain yang harganya lebih rendah untuk kegunaan tempatan. Dengan ini Malaysia mendapat keuntungan dengan mengeksport minyak yang lebih mahal dan mengimport minyak yang lebih murah.
Harga minyak ditentukan pasaran dunia, Malaysia tidak mempunyai kawalan. Petronas hanya menguasai 30% sahaja pasaran dalam sector penjualan runcit produk petroleum tempatan, manakala bakinya dikuasai oleh syarikat seperti Shell, Esso, Caltex, BP dan Mobil. Jika petronas dikehendaki menyerap kenaikan harga minyak atau menanggung secara langsung subsidi minyak, ini bermakna ia memberi subsidi kepada syarikat minyak asing. Petronas hanya mempunyai 3 loji penapis dengan minyak dengan keupayaan 256,000 tong sehari atau 47% daripada jumlah keluaran negara. Bagi sebanyak 53% disumbang oleh loji penapisan minyak yang dimiliki oleh Shell (155,000 tong sehari), Exxon-Mobil (88,000 tong sehari) dan Conoco Philips (48,000 tong sehari). Oleh kerana Malaysia menggunakan 520,000 tong sehari, kita juga bergantung kepada loji penapisan milik syarikat minyak antarabangsa.
HYYZ: Untuk mudahkan orang awam faham ambil contoh kelapa sawit. Kita adalah negara pengeluar. Kalau dulu harga sawit RM1,000 satu tan, sekarang dah naik RM3,000. Kita untung atau rugi? Sudah tentu untung 3 kali ganda. Begitu juga minyak mentah Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan menganggotai OPEC. Jika Malaysia jual kira-kira 700,000 tong minyak mentah sehari (merujuk data tahun 2008) pada kadar AS$130 (ambil RM3.8/1Dolar AS), ini bermakna perolehan setahun adalah AS$33 bilion iaitu melebihi RM126 bilion. Dengan anggaran perolehan melebihi 1 trilion ringgit untuk 10 tahun pada kadar disebutkan tadi, bolehkah harga minyak diturunkan? Jika benar rakyat didahulukan masa sudah tentulah jual murah di dalam negara tetapi jual ikut harga pasaran di luar negara. Ini adalah hasil negara yang sepatutnya dinikmati bersama.
Kita rujuk data 2008 dengan anggaran jualan minyak mentah Malaysia sebanyak 700,000 tong sehari. Oleh kerana minyak dijual dengan dolar amerika, bagi memudahkan perbandingan anggapkan tukaran RM3.50/dolar AS). Harga minyak pada Januari 2007 adalah AS$50 iaitu RM175 setong. Justeru, perolehan setahun bagi 2007 adalah melebihi RM44 bilion. Jun 2008, harga minyak telah naik kepada  kepada AS$138 iaitu RM483 setong. Justeru perolehan setahun hingga Jun 2009 adalah kira-kira RM123 bilion. Ini memberikan tambahan lebihan untung sebanyak RM78 bilion. Keuntungan tambahan ini tidak termasuk keuntungan lain seperti petrol dan diesel. Oleh itu keuntungan sebenar hasil kenaikan harga minyak dunia adalah jauh lebih tinggi.

Kenapa kerajaan perlu kurangkan subsidi?
Bagaimana penjimatan subsidi akan dibelanjakan?

UPE: Ini adalah kerana jumlah tanggungan subsidi Kerajaan semakin besar iaitu RM16.2 bilion pada tahun 2007. Sekiranya harga minyak mentah dunia terus meningkat, tanggungan subsidi Kerajaan juga turut meningkat. Apabila jumlah subsidi dan pengecualian cukai jualan semakin meningkat, wang yang ada untuk tujuan pembangunan serta subsidi sektor lain terpaksa dikurangkan.  Pemberian subsidi dan pengecualian cukai jualan yang tidak berhemat akan meningkatkan perbelanjaan mengurus Kerajaan dan seterusnya memburukkan keadaan defisit akaun Kerajaan. Ini akan menyebabkan Kerajaan terpaksa terus berhutang bagi menampung perbelanjaan yang semakin meningkat tersebut. Sekiranya keadaan ini berterusan, beban hutang akan terus ditanggung oleh generasi akan datang.
Kerajaan dijangka menjimatkan RM4.4 bilion pada tahun 2006 dengan kenaikan 30 sen harga minyak.  Pemberian subsidi akan mengurangkan keupayaan kerajaan untuk mengurangkan defisit negara. Subsidi telah meningkatkan penyeludupan minyak ke luar negara. Subsidi lebih menguntungkan golongan kaya yang memiliki banyak kereta berbanding orang miskin yang mempunyai motosikal.
Jumlah subsidi yang berjumlah RM4.4 bilion (2006) akan dipulangkan kembali kepada rakyat dengan menambah baik sistem pengangkutan awam dengan menubuhkan Kumpulan Wang Amanah Pengangkutan Awam (KWAPA). Dana ini akan digunakan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan bas daripada aspek liputan dan kekerapan, menambah baik sistem integrasi pengangkutan awam antara bas, LRT, monorel dan komuter serta memperluaskan jaringan sistem monorel atau LRT. Ini untuk memberikan keselesaan kepada pengguna dan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.
HYYP: Kalau tiada subsidi pun harga minyak boleh diturunkan, apatah lagi jika ada subsidi. Ke mana perginya untung RM78 bilion ini? Lagilah tidak logic kita terpaksa pula mengurangkan subsidi. Kita bukan singapura kerana ia kerana pembeli bukan pengeluar. Ketika minyak mentah berharga AS$130 setong (RM3.50/1 dolar AS) kerajaan mengumumkan harga sebenar  petrol di Malaysia ialah RM3.00 per liter dan diberikan subsidi 30 sen menjadikannya RM2.70 seliter. Jika benar ada subsidi, adakah subsidi diberikan kepada semua syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Mobil, Esso, Caltex, BHP dan lain-lain. Tanpa subsidi atau suatu bentuk persetujuan bayaran tertentu kepada syarikat asing tersebut, mustahil  mereka mahu menjual  dengan harga seperti dijual petronas iaitu RM2.70 seliter. Tanpa subsidi, sudah tentu mereka menjual mengikut harga yang memberikan keuntungan  sebagaimana yang dijual di negara lain. Sebab itu harga Shell di Singapura lebih tinggi. Tinjauan saya mendapati pengusaha stesen minyak membayar tunai dengan harga RM2.70 daripada pembekal syarikat asing dengan komisen hanya RM0.0095. Ini bermakna pengusaha stesen minyak bukan penerima subsidi. Justeru kemungkinan besar subsidi tersebut dibayar terus kepada syarikat asing (80% daripada RM33 bilion).
Berdasarkan RM33 bilion tadi, kita boleh mengetahui penggunaan petrol negara ini dalam setahun adalah kira-kira 110 bilion liter, lebih kurang 301 juta liter dalam sehari.
Mengikut laporan dalam tahun 2007, terdapat 3098 stesen minyak di seluruh negara dengan 40% daripadanya beroperasi 24 jam. Ini member gambaran purata jualan harian bagi sebuah stesen minyak adalah sebanyak 97 ribu liter sehari, atau hamper 3 juta liter sebulan. Suatu angka yang sukat diterima kerana untuk sebuah stesen minyak kerana secara purata jualan harian mereka tidak melebihi 20,000 liter. Jika benar ada subsidi, maka angka-angkanya mesti benar dan selari dengan pengiraan matematik tadi. Tetapi kerana angka-angkanya tidak terkena, maka keputusan ini menidakkan dan menolak dakwaan kewujudan subsidi petrol berjumlah 30 sen seliter atau RM 33 bilion sehari.
Patutkah kerajaan menggunakan keuntungan Petronas untuk membiayai subsidi?
UPE: Sejak ditubuhkan pada tahun 1974, PETRONAS telah membuat sumbangan besar terhadap   pembangunan negara. Dalam tahun kewangan 2004/2005, ia telah menyumbang RM31 bilion dalam bentuk cukai, dividen dan royalti. Ini merupakan peningkatan 47 peratus berbanding dengan sumbangan tahun sebelumnya. Jumlah ini merupakan 53 peratus daripada keuntungan kasar PETRONAS sebanyak RM59 bilion pada tahun kewangan 2004/2005. Sebenarnya, sumbangan PETRONAS kepada hasil negara adalah mencukupi untuk membiayai sepenuhnya subsidi keluaran petroleum. Namun begitu, perbelanjaan subsidi adalah perbelanjaan hangus. Walaupun Kerajaan boleh membiayai sepenuhnya subsidi yang kian meningkat tetapi ini bukanlah langkah yang terbaik kerana akan menjejaskan pelaksanaan program lain yang lebih produktif. Oleh itu, jika rakyat dan Kerajaan dapat berkongsi kos kenaikan harga keluaran petroleum dan mengurangkan jumlah subsidi yang perlu ditanggung oleh Kerajaan, sebahagian daripada sumbangan PETRONAS boleh dilaburkan ke dalam aktiviti yang menjana pendapatan baru demi kesejahteraan negara dan rakyat.Petronas juga telah member sumbangan dalam sector pendidikan (UTP) dan petrosains, pembinaan KLCC, agensi pemaju Koridor Ekonomi Wilayah Timur, menganjurkan F1. PETRONAS juga memberi subsidi gas kepada sektor tenaga dan sektor bukan tenaga berjumlah RM58.2 bilion bagi tempoh Mei 1997 hingga Mac 2007. Harga gas yang ditetapkan kepada sektor tenaga pada masa ini hanyalah RM6.40 setiap million British Thermal Unit (mmbtu) sahaja sedangkan harga gas berasaskan harga komersial ialah sebanyak RM40.53 setiap mmbtu. Pada tahun 2006, PETRONAS telah membelanjakan sebanyak RM15.6 bilion untuk membekalkan gas bersubsidi kepada sektor tenaga dan bukan tenaga.
HYYZ: Salah satu cara terbaik untuk menurunkan harga minyak adalah dengan menyerapkan terus keuntungan Petronas ke dalam hasil minyak yang dijual di dalam negara. Penyerapan keuntungan ini akan membolehkan petronas menjual petrol dengan harga lebih rendah secara langsung akan meningkatkan lagi keuntungan Petronas dengan peningkatan jualan minyak. Tindakan inilah yang sebenarnya menangkis persoalan kemanakah perginya keuntungan Petronas. Lagipun bukan semua pengusaha syarikat minyak asing seperti BHP, Esso, Caltex, Shell dan Mobil membeli minyak mentah daripada Petronas. Itupun Petronas tetap mengaut keuntungan berbilion ringgit. Sedangkan dengan harga AS$50 setong kerajaan menanggung subsidi berbilion ringgit, inikan pula AS$138 setong (RM483). Bila untunga dua kali ganda sepatutnya turun separuh harga.
Ada pihak kata Malaysia akan kehabisan minyak pada tahun 2011. Ada kata kita hendak menjadi nett importer, jadi apakah kebenarannya dan apakah reserve negara sekarang?
HM: Definisi nett exporter, nett importer ini, sekarang ini kita nett exporter sebab pengeluaran kita melebihi permintaan termasuk yang diimport tadi. Definisi nett importer pula bila di suatu masa hadapan kita telah kata tahun 2011 atau 2014 bergantung kepada growth permintaan, kita akan menjadi nett importer bermakna pengeluaran di dalam negara tidak dapat menampung permintaan dalam negara. Ia tidak bermakna yang kita akan berhenti atau tidak dapat mengeluarkan lagi minyak, seperti kita kata tadi kita akan cuba memanjangkan hayat reserve yang kita ada dalam jangka dalam jangka 20 hingga 22 tahun di hadapan. Reserve dan pengeluaran di luar negeri tidak diambil kira. Ini kita katakan negara Malaysia telah menjadi nett importer, PETRONAS sekarang telah melabur dan meneroka di negara-negara lain, jumlah reserve kita telah meningkat, dan 30% daripada reserve PETRONAS terletak di luar negara seperti di Sudan, di Indonesia dan sebagainya.
HYYZ: Tuhan jadikan Malaysia unik. Laluan gempa bumi pun tidak merempuh Malaysia. Telaga minyak kita macam telaga air di kampung, dicedok banyak mana pun tak akan habis. Minyak kita kalau ambil satu tong, dia akan keluar lagi sehingga tiga tong. Saya banyak mendapat maklum balas daripada ramai bekas pelajar saya yang menjadi jurutera di Petronas dan di kawasan cari gali. Untuk satu jangka yang amat lama lagi dakwaan ini tidak benar, kalau habispun, saya percaya ketika itu minyak bukan lagi merupakan sumber utama negara.

Sunday, 22 May 2011

KENAIKAN HARGA BARANG

Nasib pengguna lebih terbela

Sebagai pengguna kita berasa lega apabila kerajaan menguatkuasakan Akta Kawalan dan Pencatutan 2010 mulai 1 April lalu. Akta ini membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bertindak dengan segera terhadap peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, syarikat korporat yang melakukan kesalahan di bawah akta ini boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM500,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta.
Bagi individu pula, mereka akan berdepan dengan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua atau seterusnya boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.
Kita percaya hukuman yang digariskan ini pasti akan mengundang rasa ketakutan dalam kalangan peniaga baik individu, mahupun syarikat korporat yang berhasrat untuk menaikkan harga barangan ataupun yang selama ini memang degil dan terus menganiaya pengguna.
Hal ini penting kerana mutakhir ini kita terus dikejutkan dengan kenaikan harga pelbagai jenis barangan dengan sewenang-wenangnya oleh peniaga tanpa mempedulikan hak dan kemampuan kuasa beli pengguna.
Misalnya, kenaikan harga gula menyebabkan peniaga terus menaikkan harga makanan dan minuman walaupun kajian kementerian mendapati untuk secawan teh dan kopi kenaikan harga gula (20 sen sekilo) hanyalah 0.4 peratus sahaja. Apa yang berlaku ialah peniaga menaikan terus harga makanan dan minuman pada kadar 20 sen secawan.
Justeru, dalam hal ini, apa yang penting ialah kepentingan aspek penguatkuasaan pemantauan oleh pihak kementerian. Kita berasa lega apabila Ismail Sabri juga mengumumkan bahawa seramai 1,600 pegawai pemantau harga telah digerakkan untuk memantau keadaan kenaikan harga setiap hari terutamanya selepas kenaikan harga gula.
Mungkin timbul persoalan adakah jumlah 1,600 orang ini mencukupi untuk memantau di seluruh pelosok negara? Sejauh mana pemantauan ini betul-betul dilaksanakan?
Justeru, kita berharap kementerian akan memastikan elemen pemantauan ini dilaksanakan mengikut perancangan, sama ada dengan 1,600 orang ini ataupun menambah lagi tenaga pekerja supaya ia benar-benar memberi impak yang diharapkan.
Pada masa sama, sebagai pengguna kita juga wajar memainkan peranan kita terutamanya dalam melindungi hak kita sendiri. Orang ramai perlu memberi kerjasama dengan melaporkan kepada kementerian sekiranya terdapat peniaga yang menaikkan harga sesuka hati mereka.

Pembangkang hanya pandai eksploitasi isu kenaikan harga minyak

KEMAMAN 21 Mei - Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menempelak pihak pembangkang yang hanya pandai mengeksploitasi isu kenaikan harga minyak sedangkan mereka tiada tanggungjawab untuk sama-sama menyelesaikannya.
Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangkang ternyata tidak berusaha untuk menangani perkara itu kerana mereka tidak menanggung bebannya.
Sedangkan kerajaan, jelas beliau, terpaksa memikul beban dan sentiasa bertanggungjawab bagi menangani isu kenaikan harga minyak RON 95 itu demi kepentingan rakyat.
"Mungkin pihak pembangkang mudah mengeskploitasi isu ini kerana mereka tidak mempunyai tanggungjawab dalam menyelesaikannya.
"Isu ini membebankan kerajaan tetapi mereka (pembangkang) tidak tahu bagaimana nak selesaikannya," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kemaman di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini hari ini.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO diminta mengulas usaha pihak pembangkang yang mengeksploitasi isu kenaikan harga minyak RON 95 walapun ia masih belum diputuskan kerajaan.
Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa kerajaan akan mengambil kira semua aspek sebelum membuat keputusan mengenai isu berkenaan demi kepentingan rakyat.
"Soal kenaikan kos minyak kita dah tahu dan saya pun telah buat beberapa kenyataan serta mempengerusikan mesyuarat minggu lalu untuk berbincang secara mendalam bagaimana nak tangani masalah ini," jelasnya.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, soal kenaikan harga minyak bukan hanya dialami Malaysia malah di kebanyakan negara lain di peringkat global.
"Negara jiran, baik Singapura, Thailand dan Indonesia, isu sama saja cuma degree yang berbeza tetapi di Malaysia memang ada isu tetapi kadar inflasi kita antara yang terendah," katanya.
Justeru Muhyiddin mahu semua pihak sedar betapa kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi yang tinggi apabila berlaku kenaikan harga minyak dunia.
Beliau mengakui kerajaan menanggung peningkatan beban subsidi daripada RM10 bilion kepada RM18 bilion sekiranya subsidi itu tidak diuruskan dengan baik.

ARKIB : 22/05/2011

Pembangkang digesa hentikan isu kenaikan harga RON95

BERA 21 Mei - Pihak Pembangkang digesa menghentikan segala tohmahan kepada kerajaan berhubung isu kenaikan petrol RON95 sebelum pengumuman rasmi mengenainya dilakukan dua minggu lagi.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, rakyat tidak sepatutnya terpengaruh dengan dakyah pembangkang bahawa harga tersebut akan dinaikkan dalam masa terdekat.
"Rakyat perlu bersabar dengan menunggu keputusan kerajaan dan jangan terpengaruh dakyah yang dilemparkan pembangkang kononnya bahan bakar itu akan dinaikkan.
"Saya sentiasa maklumkan bahawa Rasionalisasi Subsidi akan kita umumkan, jadi jangan menuduh kerajaan itu dan ini kerana kerajaan belum berbuat demikian," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, tindakan pembangkang yang sengaja memainkan isu tersebut adalah untuk mengaut kepentingan politik tanpa mengambil kira faktor tertentu.
"Semalam saya dimaklumkan terdapat penyebaran di laman sosial facebook yang menyatakan kerajaan menaikkan harga RON95 sebanyak 30 sen selepas pukul 12 tengah malam.
"Penyebaran maklumat palsu itu menimbulkan kekecohan di kalangan rakyat maka saya mohon ia dihentikan," jelasnya.
Beliau menjelaskan, sebanyak RM20.58 bilion diperuntukkan sebagai subsidi untuk petrol dan bahan makanan yang membuktikan kerajaan mengambil serius tentang kebajikan rakyat.

Kerajaan ambil kira beban rakyat

PUTRAJAYA 20 Mei - Kerajaan akan mengambil kira semua faktor termasuk kadar inflasi dan beban rakyat semasa melakukan kajian rasionalisasi subsidi pertengahan tahun yang dijangka membawa kepada penyelarasan harga minyak pada akhir bulan ini atau awal bulan depan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan dijangka menanggung subsidi hasil petroleum sebanyak RM18 bilion pada tahun ini berbanding RM8 bilion tahun lalu sekiranya harga minyak mentah kekal tinggi sekitar AS$100 (RM303) setong.
''RM10 bilion tambahan untuk tujuan subsidi ini merupakan perbelanjaan di luar bajet dan keadaan ini memaksa kerajaan mencari sumber kewangan untuk menampung subsidi ini.
''Keadaan ini bagaimanapun tidak bermakna kerajaan akan mengorbankan projek lain seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk memberi subsidi kepada rakyat, projek seperti PLKN juga amat penting dan perlu dijalankan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan program pemadanan perniagaan antara 35 koperasi dengan pasar raya besar, pasar raya, stesen minyak dan persatuan hotel di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, kenaikan harga merupakan satu fenomena global dengan tiada satu pun negara terkecuali.
''Walaupun China mengamalkan ideologi komunis dan mengawal harga semua barang tetapi hakikatnya minyak RON93 mereka dijual dengan harga RM3.80 seliter, Indonesia pula menjual RON92 dengan harga RM3.20.
''Harga RON95 di Malaysia pula hanya RM1.90. Kita memberi subsidi RM1 untuk setiap liter minyak yang dibeli pengguna,'' katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berharap pihak hotel dan syarikat minyak akan mengecualikan koperasi daripada membayar caj penyenaraian tetap untuk produk yang dipamerkan di premis perniagaan berkenaan.
''Semua pihak termasuk pasar raya besar tempatan dan asing dipohon agar memberi ruang dan peluang yang sewajarnya kepada koperasi memasarkan produk mereka," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, koperasi Malaysia akan bekerjasama dengan koperasi di Indonesia melalui satu memorandum yang akan ditandatangani pada Jun ini.
''Kita turut merancang hubungan kerjasama dengan Singapura, kita mahu koperasi Malaysia memperluaskan pasaran ke luar negara," katanya.

Rakyat diminta bersama kerajaan kurangkan subsidi

20/05/2011 5:09pm

BACHOK 20 Mei - Rakyat haruslah bersama kerajaan dalam usaha mengurangkan jumlah subsidi yang semakin meningkat dari RM10.3 bilion tahun lepas kepada RM20.58 bilion tahun ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin.
Katanya, kerajaan akan mengkaji secara terperinci agar sebarang keputusan bagi mengurangkan subsidi tidak membebankan rakyat golongan miskin.
"Kajian itu akan dibuat secara menyeluruh yang membabitkan bahan bakar, tepung, gula dan bahan makanan asas,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan penduduk Kampung Telong di sini, hari ini.
Beliau mengulas kebimbangan rakyat terutama di luar bandar terhadap kemungkinan kenaikan harga barangan berikutan langkah mengkaji semula pemberian subsidi termasuk bagi petroleum RON95. - Bernama

ARKIB : 20/05/2011

Dutch Lady naikkan harga 5 - 6 peratus Jun ini

PETALING JAYA 19 Mei - Dutch Lady Milk Industries Bhd. (Dutch Lady Malaysia) akan menaikkan harga produk keluarannya antara lima dan enam peratus secara berperingkat-peringkat mulai bulan depan berikutan kenaikan harga bahan mentah.
Pengarah Urusannya Bas van den Berg berkata, harga bahan mentah dijangka meningkat sebanyak 29 peratus tahun ini berbanding 27 peratus pada 2010.
"Kami akan terus berdepan dengan kenaikan harga bahan mentah, yang mewajarkan kami untuk menaikkan harga tahun ini," katanya selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu di sini hari ini.
Beliau berkata, Dutch Lady Malaysia sudah menaikkan produk susu untuk membesar sebanyak lima peratus menerusi pelancaran barisan produk susu untuk membesar dengan 5X DHA pada Januari lepas.
Ditanya tentang unjuran 2011, van den Berg berkata, pasaran produk tenusu sangat baik, berikutan penggunaan susu yang lebih tinggi.
Beliau berkata, syarikat akan terus membangunkan pasaran pelbagai kategori susu dan yakin memperoleh keputusan yang kukuh tahun ini.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac, 2011, Dutch Lady Malaysia mencatat peningkatan 15 peratus dalam perolehan kepada RM196.6 juta berbanding RM170.5 juta pada tempoh yang sama pada 2010.
Keuntungan sebelum cukainya meningkat 22 peratus kepada RM34.6 juta berbanding RM28.3 juta sebelumnya. - Bernama

ARKIB : 20/05/2011

Akta persaingan bela pengguna

KANGAR 19 Mei - Kegiatan berpakat untuk menaikkan harga barang atau mengurangkan bekalan, monopoli dan perlakuan perdagangan tidak adil akan ditangani dengan lebih berkesan apabila Akta Persaingan 2010 dikuatkuasakan mulai 1 Jan 2012, kata Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang dibentuk melalui akta itu akan bertanggungjawab menangani perkara-perkara itu demi kepentingan rakyat.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Turun Padang Timbalan Perdana Menteri di sini hari ini, Muhyiddin berkata, suruhanjaya itu berkuasa untuk memanggil kelompok peniaga yang didapati melakukan perbuatan yang merugikan orang ramai.
Katanya kerajaan tidak mahu rakyat terbeban dengan kenaikan harga barang yang sepatutnya boleh dikawal dan kerajaan juga berbelanja besar untuk subsidi harga barang yang membabitkan kos lebih RM20 bilion.
Muhyiddin berkata, kerajaan terpaksa melaksanakan rasioanalisasi termasuk mengurangkan subsidi diesel bot laut dalam mulai 1 Jun ini.
Katanya, mulai Jun pengusaha bot nelayan perlu membeli harga diesel RM1.80 seliter berbanding RM1.25 pada masa ini.
"Syarikat besar yang ada banyak bot laut dalam sudah pasti mendapat hasil besar dan tak wajar mendapat subsidi sama seperti nelayan lain," katanya sambil menjelaskan bahawa hasil penjimatan itu boleh disalurkan kepada sektor-sektor lain.
Mengenai masalah banjir di Perlis, Muhyiddin berkata, beliau telah mendengar taklimat daripada Menteri Besar Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu berhubung perkara itu.
Katanya, kerajaan berhasrat untuk menyelesaikan masalah itu secara beransur-ansur kerana ia membabitkan kos besar namun sebagai permulaan sebanyak RM18 juta diperuntukkan bagi kerja membaiki saliran di Empangan Timah Tasoh dekat sini bagi mengawal banjir.
Sebelum itu, semasa berucap pada majlis yang berlangsung di Dewan 2020 itu, beliau berharap rakyat sentiasa mengutamakan semangat perpaduan dan tidak mempertikaikan perlembagaan negara sehingga menjadi isu perdebatan dan merungkai perpaduan rakyat.
Turut hadir di majlis itu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. - BERNAMA

Kerajaan tetap pastikan rakyat tak terbeban - TPM

19/05/2011 1:23pm

KANGAR 19 Mei - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menolak dakwaan pembangkang bahawa kerajaan tidak membantu rakyat dalam menangani masalah kenaikan harga barangan.
Beliau berkata, kerajaan akan tetap menangani fenomena global terutama kenaikan harga minyak bagi memastikan rakyat tidak tertekan dengan kenaikan kos hidup.
"Pembangkang tuduh kerajaan tak bantu rakyat dengan membiarkan harga barang melambung tinggi. Kerajaan sebenarnya sentiasa berusaha untuk mengawal keadaan itu,” katanya ketika berucap pada majlis jalinan mesra sempena lawatannya ke Pulau Ketam dekat sini hari ini.
Muhyiddin berkata, kerajaan terpaksa menanggung beban subsidi sebanyak RM20 bilion setahun bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang di samping penyaluran pelbagai kemudahan untuk keselesaan rakyat.
Beliau berkata, selain itu, kerajaan juga akan memastikan rakyat tidak tertekan dengan persaingan meningkatkan harga oleh pihak tertentu apabila Akta Persaingan 2010 berkuatkuasa tahun depan. - Bernama

ARKIB : 19/05/2011

Inflasi boleh lepasi 3.5 peratus


Zeti Akhtar Aziz pada sidang akhbar KDNK bagi mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama 2011 di Kuala Lumpur, semalam - Utusan/Amin Farij Hasan


KUALA LUMPUR 18 Mei - Kadar inflasi negara boleh menjadi lebih buruk sekiranya harga minyak dunia terus meningkat tinggi.
Sebelum ini, kadar inflasi diunjur sebanyak 2.5 peratus hingga 3.5 peratus.
Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mengakui bahawa kadar itu boleh melepasi unjuran tertinggi 3.5 peratus pada bulan-bulan tertentu.
Beliau menambah, bank pusat akan menyemak semula kadar itu sekiranya berlaku peningkatan lebih tinggi berbanding unjuran awal.
Katanya, kadar inflasi negara terus meningkat pada bulan April kepada 3.2 peratus daripada 3.0 peratus pada bulan sebelumnya, 2.9 peratus (Februari) dan 2.4 peratus (Januari).
Zeti berkata, ''BNM masih mengekalkan unjuran purata kadar inflasi pada tahun ini antara 2.5 peratus hingga 3.5 peratus
''Unjuran ini telah pun mengambil kira kemungkinan berlaku beberapa penyelarasan (semakan) yang akan dibuat.
''Seandainya penyelarasan melebihi daripada harga yang ditentukan, mungkin semakan (kadar inflasi) perlu dilakukan,'' katanya pada sidang akhbar selepas mengumumkan prestasi suku pertama 2011 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kedudukan inflasi negara sekiranya kerajaan menyelaraskan harga minyak petrol.
Zeti menambah, kenaikan harga minyak mentah dunia memang akan memberi risiko dan cabaran kepada dunia.
Katanya, meskipun kenaikan harga komoditi itu akan menambah pendapatan eksport negara, tetapi ia membebankan pengguna dan perniagaan secara keseluruhan.
''Kenaikan harga minyak dunia adalah fenomena dunia dan akan memberi kesan kepada setiap negara.
''Sekarang ini, harga minyak berlegar di sekitar AS$110 (RM330), jika aliran harga ini terus meningkat, ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi,'' jelas beliau.
Jabatan Perangkaan hari ini mengumumkan indeks harga pengguna pada bulan April naik 3.2 peratus disebabkan oleh kenaikan harga makanan dan pengangkutan.
Ditanya mengenai Kadar DasarSemalaman (OPR) semasa, Zeti berkata, kadar itu adalah sesuai untuk mengatasi cabaran ekonomi sekarang.
Malah, tambah beliau, kedudukan polisi monetari kekal menyokong ekonomi negara.

ARKIB : 18/05/2011

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

HAKIKAT yang perlu kita semua terima ialah tanggungan subsidi kerajaan terhadap produk petroleum sejak dahulu lagi adalah terlalu tinggi dan faktor luaran menjadi penentu kepada harga pasaran bahan tersebut.
Trend pasaran petroleum dunia pula tidak menampakkan ia akan menurun; menjadikan trend pada peningkatan harga bahan-bahan berasaskan petroleum.
Mengekang sebarang kenaikan harga jualan bahan-bahan itu seperti petrol dan gas bermakna kerajaan menyerap apa juga kenaikan harga bahan terlibat. Maknanya, jumlah subsidi kerajaan terus meningkat dan besar.
Tahun lepas sahaja, kerajaan menanggung RM8 bilion untuk subsidi produk petroleum dan jika harga minyak terus menunjukkan peningkatan, anggaran subsidi kerajaan boleh mencecah RM18 bilion tahun ini.
Dalam melihat rasionalisasi subsidi, kerajaan dari semasa ke semasa mencari jalan supaya beban keterlaluan kepada kerajaan dapat dibendung tetapi pada masa yang sama memastikan harga produk-produk berkenaan tidak membebankan rakyat selaku pengguna.
Mengadakan dua harga petrol - RON97 dan RON95 berserta syarat pembelian yang turut melibatkan kenderaan asing, adalah antara contoh penyesuaian yang mendatangkan faedah kepada kerajaan dan rakyat.
Mengekang peningkatan peruntukan subsidi bermakna lebih banyak peruntukan dapat disalurkan kepada projek pembangunan untuk semua rakyat termasuk di luar bandar.
Awang - Faham.

ARKIB : 18/05/2011

'Jangan naik harga sekarang'

SEREMBAN 17 Mei - Pergerakan Pemuda UMNO di seluruh negara diminta mengemukakan usul membantah kenaikan harga petrol RON95 dan tarif elektrik pada persidangan perwakilan bahagian masing-masing.
Ketua pergerakan itu, Khairy Jamaluddin berkata, pergerakan itu tidak bersetuju kenaikan tersebut dibuat sekarang kerana ia akan membebankan rakyat yang sedang merasai kesan kenaikan harga barang makanan secara purata sebanyak enam peratus, lebih tinggi berbanding kadar inflasi sebanyak tiga peratus.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rem-bau berkata, kenaikan RON95 akan memberi kesan terhadap barangan lain juga kerana ia melibatkan rantaian nilai.
"Pergerakan Pemuda UMNO berpendapat rakyat sudah pun terbeban dengan kenaikan harga makanan dan sebarang kenaikan pada harga petrol akan menyebabkan mereka terus terhimpit.
"Oleh kerana itu, saya meminta semua Pemuda UMNO bahagian mengemukakan usul membantah kenaikan harga RON95 dan tarif elektrik pada masa ini," katanya kepada para pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Zakaria Nordin dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban, Shahrul Ekhsan Othman.
Khairy berkata, beliau akan menyampaikan usul tersebut kepada kerajaan dan terpulang kepada kerajaan untuk memberi pertimbangan terhadap bantahan itu.
"Kalau nak struktur semula subsidi saya setuju tetapi saya tidak setuju ia dibuat sekarang kerana kita tengok harga makanan seperti daging, ayam dan sayur telah pun meningkat dan rakyat rasa terhimpit," katanya.